Isnin, 14 September 2009

Jadikan takaful pilihan utama

Dewasa ini sistem kewangan Islam semakin berkembang dan kehadirannya semakin dirasai. Jika sebelum ini masyarakat terdedah dan 'terdidik' dengan sistem konvensional, namun, hari ini kita boleh berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh industri kewangan Islam.

Statistik sehingga 31 Disember 2008 menunjukkan industri takaful mewakili sejumlah 7.2 peratus daripada pasaran insurans secara keseluruhannya. Namun inisiatif-inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat takaful dan retakaful sedia ada memperlihatkan perkembangan positif industri ini untuk masa-masa akan datang.

Di antara inisiatif syarikat-syarikat ini yang membuktikan industri takaful bukan sekadar alternatif kepada insurans konvensional adalah mereka menawarkan produk-produk yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kompetitif. Ia mampu menyaingi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional.

Penilaian yang menyeluruh mestilah menjadi kayu ukur dalam menentukan sesuatu keputusan yang dibuat adalah merupakan keputusan yang terbaik. Justeru, dalam membandingkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat takaful dan insurans konvensional, penilaian bukan sekadar merangkumi aspek harga dan manfaat yang ditawarkan. Malah ia perlu juga dinilai dalam bentuk yang lain seperti aspek spiritual dan nilai murni yang ingin diterapkan. Apabila kita menilai aspek tertentu sahaja, sudah pasti kelebihan dan 'kecantikan' sistem tersebut tidak dapat diserlahkan dan keadilan tidak dapat dizahirkan.

Biarpun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan dan insurans konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak daripada terlibat dengan sistem kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan takaful mahal harganya berbanding produk-produk syarikat konvensional. Itulah sikap manusia, bila tiada sesuatu perkara, mereka sibuk menggesa agar diwujudkan dan apabila telah diwujudkan, mereka juga 'sibuk'. Sibuk mencipta 1,001 macam alasan untuk mengelakkan diri daripada terlibat atau melaksanakan perkara tersebut.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan dan insurans konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba. Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada alternatif kepada kedua-duanya iaitu industri perbankan Islam dan takaful?Maksud firman Allah SWT: 

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)

Kita biasa mendengar mengenai jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Namun, apabila peluang diberi untuk melaksanakan agenda tersebut, kita seringkali mengelak.Masyarakat seharusnya turut serta melibatkan diri dalam sistem takaful bagi menjayakan sistem ekonomi Islam yang memberikan keadilan dan keuntungan bukan sekadar duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi.

Sistem kewangan Islam, sama ada yang berkaitan dengan takaful atau perbankan hakikatnya adalah satu sistem mematuhi syariah dan tiada unsur-unsur haram seperti riba, gharar (shubhat) dan maisir (judi).Justeru ia merupakan satu platform melakukan ibadah kepada Allah. Menerusi sistem takaful seseorang itu berpeluang melakukan derma/infaq/sedekah 'kelas pertama' yang mana amalan ini sangat digalakkan di bulan Ramadan al Mubarak ini.

Menerusi sistem takaful ini seseorang itu juga boleh menjadikannya sebagai satu platform melakukan dakwah dan jihad mengajak ummah meninggalkan sistem riba kepada satu sistem yang diredai oleh Allah.Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak terhenti dengan kewafatan baginda. Setiap individu Muslim wajib meneruskan usaha mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini. Sebagaimana dijelaskan di dalam surah Fussilat ayat 33.

Bersempena dengan Ramadan yang mulia ini, marilah kita thabatkan dalam hati bahawa kita bukan sekadar ingin membuat perubahan dalam diri kita, daripada yang lebih baik kepada yang terbaik dari sudut ibadah dan akhlak.Malah, kepada keseluruhan sistem kehidupan kita yang bersangkut paut dengan ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan umat yang lahir hasil madrasah Ramadan kali ini merupakan umat yang akan memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam sistem kewangan.

Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan