Selasa, 15 September 2009

Mencari perlindungan dan tawakkal



Semua orang Islam perlu tahu bahawa perlindungan paling utama adalah perlindungan dari Allah swt. Tidak akan ada yang boleh melebihi perlindungan daripada Allah.  

Kita disuruh agar berusaha sehabis usaha barulah seterusnya bertawakkal kepadaNya. Kita tidak boleh berdiam diri dan mengharapkan rahmat Allah tanpa melakukan apa yang patut dan sepatutnya kita lakukan. Harus ada usaha terlebih dahulu barulah dibolehkan bertawakkal. 

5 hari lagi, insyaAllah kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semua warga akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing. Dalam pada kesibukan ini, pasti akan berlaku kemalangan dan kehilangan orang yang tersayang. 

Kita mungkin telah servis kereta kita, ambik perlindungan takaful, dan bermacam lagi semata-mata untuk memastikan kita sepenuhnya bersedia. Apa yang kita sering terlupa ialah servis hati dan akal kita. Kita bertawakkal kepada Allah swt diatas keadaan kenderaan kita bukan keadaan diri kita sendiri. Sebab itulah ramai yang mementingkan diri, tidak bersabar dan tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain. Kita lupa bahawa dalam usaha mengelakkan kemalangan, kita haruslah memandu dengan cermat dan berhemah terlebih dahulu barulah bertawakkal kepada Allah agar terhindar dari kemalangan. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri dari saya. Kalau ada salah dan silap, saya pohon maaf zahir dan batin.

Isnin, 14 September 2009

Jadikan takaful pilihan utama

Dewasa ini sistem kewangan Islam semakin berkembang dan kehadirannya semakin dirasai. Jika sebelum ini masyarakat terdedah dan 'terdidik' dengan sistem konvensional, namun, hari ini kita boleh berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh industri kewangan Islam.

Statistik sehingga 31 Disember 2008 menunjukkan industri takaful mewakili sejumlah 7.2 peratus daripada pasaran insurans secara keseluruhannya. Namun inisiatif-inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat takaful dan retakaful sedia ada memperlihatkan perkembangan positif industri ini untuk masa-masa akan datang.

Di antara inisiatif syarikat-syarikat ini yang membuktikan industri takaful bukan sekadar alternatif kepada insurans konvensional adalah mereka menawarkan produk-produk yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kompetitif. Ia mampu menyaingi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional.

Penilaian yang menyeluruh mestilah menjadi kayu ukur dalam menentukan sesuatu keputusan yang dibuat adalah merupakan keputusan yang terbaik. Justeru, dalam membandingkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat takaful dan insurans konvensional, penilaian bukan sekadar merangkumi aspek harga dan manfaat yang ditawarkan. Malah ia perlu juga dinilai dalam bentuk yang lain seperti aspek spiritual dan nilai murni yang ingin diterapkan. Apabila kita menilai aspek tertentu sahaja, sudah pasti kelebihan dan 'kecantikan' sistem tersebut tidak dapat diserlahkan dan keadilan tidak dapat dizahirkan.

Biarpun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan dan insurans konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak daripada terlibat dengan sistem kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan takaful mahal harganya berbanding produk-produk syarikat konvensional. Itulah sikap manusia, bila tiada sesuatu perkara, mereka sibuk menggesa agar diwujudkan dan apabila telah diwujudkan, mereka juga 'sibuk'. Sibuk mencipta 1,001 macam alasan untuk mengelakkan diri daripada terlibat atau melaksanakan perkara tersebut.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan dan insurans konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba. Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada alternatif kepada kedua-duanya iaitu industri perbankan Islam dan takaful?Maksud firman Allah SWT: 

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)

Kita biasa mendengar mengenai jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Namun, apabila peluang diberi untuk melaksanakan agenda tersebut, kita seringkali mengelak.Masyarakat seharusnya turut serta melibatkan diri dalam sistem takaful bagi menjayakan sistem ekonomi Islam yang memberikan keadilan dan keuntungan bukan sekadar duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi.

Sistem kewangan Islam, sama ada yang berkaitan dengan takaful atau perbankan hakikatnya adalah satu sistem mematuhi syariah dan tiada unsur-unsur haram seperti riba, gharar (shubhat) dan maisir (judi).Justeru ia merupakan satu platform melakukan ibadah kepada Allah. Menerusi sistem takaful seseorang itu berpeluang melakukan derma/infaq/sedekah 'kelas pertama' yang mana amalan ini sangat digalakkan di bulan Ramadan al Mubarak ini.

Menerusi sistem takaful ini seseorang itu juga boleh menjadikannya sebagai satu platform melakukan dakwah dan jihad mengajak ummah meninggalkan sistem riba kepada satu sistem yang diredai oleh Allah.Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak terhenti dengan kewafatan baginda. Setiap individu Muslim wajib meneruskan usaha mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini. Sebagaimana dijelaskan di dalam surah Fussilat ayat 33.

Bersempena dengan Ramadan yang mulia ini, marilah kita thabatkan dalam hati bahawa kita bukan sekadar ingin membuat perubahan dalam diri kita, daripada yang lebih baik kepada yang terbaik dari sudut ibadah dan akhlak.Malah, kepada keseluruhan sistem kehidupan kita yang bersangkut paut dengan ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan umat yang lahir hasil madrasah Ramadan kali ini merupakan umat yang akan memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam sistem kewangan.

Dipetik dari Utusan Malaysia.

Jumaat, 11 September 2009

Membuat tuntutan

Setiap daripada kita seharusnya memiliki polisi takaful. Sekiranya anda masih belum memiliki perlindungan takaful, silalah dapatkan dengan segera. Lindungi diri dan keluarga anda. Bagi yang sudah memiliki takaful, adalah penting untuk anda mengetahui cara dan proses dalam membuat tuntutan sekiranya sesuatu berlaku terhadap anda.

Pastikan anda ingat dimana anda menyimpan polisi anda. Sekiranya berlaku sesuatu dan anda ingin membuat tuntutan, telefon agen atau syarikat takaful anda untuk mendapatkan penerangan. Semestinya anda harus ingat dari syarikat takaful mana anda mendapatkan perlindungan takaful anda.

Simpan nombor telefon agen anda. Pastikan yang agen tersebut masih lagi berada di bawah syarikat takaful yang sama. Kadangkala, agen berhenti atau berlaku musibah menyebabkan beliau terpaksa berhenti. Anda memerlukan pertolongan agen untuk memudahkan kerja membuat tuntutan. 

Dapatkan bantuan agen untuk mengisi borang permohonan tuntutan. Pastikan maklumat yang diberi adalah betul dan tepat. Tuntutan anda boleh mengambil masa yang lama untuk diproses dan akan tertangguh sekiranya maklumat tidak tepat. 

Dalam kes kematian, dapatkan salinan sijil kematian. Beri semua dokumen yang diperlukan kepada agen anda atau hantar kepada syarikat takaful anda. Telefon untuk mengesahkan bahawa mereka telah menerima borang permohonan anda. Pastikan anda bersedia untuk menjawap semua soalan-soalan sekiranya syarikat takaful menelefon anda berhubung kes kematian dan tuntutan anda.

Diharapkan informasi diatas dapat membantu anda membuat tuntutan sekiranya perlu. Jangan teragak-agak untuk menelefon. Ketahui hak anda.

Rabu, 9 September 2009

Membuat pilihan terbaik

Membuat pilihan yang terbaik dalam hidup adalah keinginan setiap insan. Tiada orang mahu membuat pilihan yang salah dan menyerabutkan fikiran di masa hadapan. Memahami bahawa kita telah membuat pilihan yang betul dalam memilih perlindungan takaful yang terbaik adalah sukar. Ini kerana takaful sendiri memiliki kriteria teknikal yang sukar untuk difahami walaupun soalan yang diajukan adalah sebenarnya sudah tepat.

Persatuan Insuran Am Malaysia(PIAM) mencadangkan supaya setiap pengguna yang ingin mendapatkan produk dan servis takaful supaya benar-benar meneliti dan memahami perkara-perkara dibawah dalam membuat keputusan.
  1. Pilih syarikat takaful yang terbaik
    Tiga kriteria utama yang perlu dipertimbangkan apabila memilih syarikat takaful:
    • Kekuatan dari segi kewangan
    • Keadilan dan berapa cepat dalam memproses tuntutan
    • Kebolehan dan keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan sebelum dan selepas sesuatu musibah.

    Polisi takaful adalah satu perjanjian. Semua perjanjian hanya bernilai tidak lebih dari perkataan dan kekuatan kewangan seseorang atau syarikat yang membuatnya. Oleh itu, terpenting sekali dalam memilih syarikat takaful ialah dengan memastikan syarikat tersebut mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh. Pengguna boleh menilai sesebuah syarikat takaful dengan mengumpulkan informasi daripada agen takaful atau nasihat daripada broker takaful atau pengalaman pemegang polisi yang lain samada mereka berpuas hati atau tidak dengan syarikat tersebut. Syarikat takaful yang baik juga sepatutnya mendengar keperluan takaful pengguna dan jika perlu dapat mengubahsuai perlindungan yang diberi agar memenuhi kehendak pengguna.

    Pengguna juga harus meneliti reputasi syarikat dalam menyelesaikan tuntutan dengan adil dan cepat, dan juga keberkesanan perkhidmatan yang diberi.

  2. Pilih agen takaful yang terbaik
    Seseorang agen harus senang dihubungi. Selain itu, seseorang agen takaful yang bagus haruslah memiliki:
    • pengetahuan yang mendalam tentang produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat takaful yang diwakilinya
    • beretika dan mendahulukan kehendak prospek
    • mempunyai tahap komunikasi yang bagus agar prospek faham apa yang disediakan oleh syarikat takaful serta hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan hasil daripada perjanjian yang termeterai. Tahap pengetahuan seorang agen dapat dilihat melalui kebolehan menjawap soalan dengan jelas dan sekiranya jawapan belum dapat diperolehi, agen tahu bagaimana mendapatkannya. Sesetengah agen menambah pengetahuan mereka dengan menghadiri seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak syarikat takaful mereka.

    Agak sukar untuk pengguna menilai tahap kebolehpercayaan seorang agen yang baru dikenali. Pengetahuan sendiri tentang reputasi agen atau cadangan daripada prospek yang telah berpuas hati adalah jalan terbaik untuk menentukan tahap kebolehpercayaan dan kemampuan agen dalam menyediakan perkhidmatan terbaik selepas pengguna mendapatkan perlindugan takaful daripadanya.

    Apabila ragu-ragu, hubungi cawangan atau ibupejabat syarikat takaful diwakili agen untuk bertanya tentang agen tersebut.

  3. Pilih polisi takaful yang terbaik
    Penentuan samada polisi takaful itu bagus atau tidak bergantung kepada kefahaman pengguna tentang keperluan takaful beliau. Polisi takaful yang baik seharusnya dapat memenuhi kehendak pengguna tanpa memerlukan tambahan pelan atau rider yang lain.

  4. Nilai yang berpatutan
    Proses menentukan berapa banyak perlindungan takaful yang diperlukan adalah hampir sama dalam memilih polisi yang terbaik. Ia bermula apabila pengguna tahu yang dia memerlukan perlindungan takaful. Pengguna memerlukan takaful apabila sedar dia akan berhadapan dengan kesusahan dan kemungkinan untuk rugi.

    Keperluan ini sebenarnya boleh diberi nilai. Dalam kes mengtakafulkan pendapatan atau tanggungan, anggaran jumlah kerugian diperlukan. Dicadangkan agar pengguna betul-betul memahami dengan jelas tahap pendedahan mereka terhadap risiko-risiko yang boleh berlaku dan mendapatkan perlindungan sewajarnya.

    Meskipun sukar untuk menentukan takaful yang harus diambil dan jumlah yang sesuai bagi setiap perlindungan, beberapa faktor boleh digunakan sebagai rujukan:
    • Dapatkan perlindungan untuk orang yang jika apa-apa berlaku kepadanya akan memberi kesan paling buruk kepada semua yang lain
    • Jangan biarkan anda terdedah kepada risiko yang anda tidak mampu untuk menghadapinya
    • Jangan sesekali membiarkan anda berhadapan dengan risiko kerugian yang besar hanya kerana ingin menjimatkan duit dan memilih pelan campuran yang perlindungannya adalah tidak menyeluruh dan terhad

  5. Bayar untuk apa yang anda akan dapat
    Pengetahuan yang tepat tentang perlindungan takaful membolehkan pengguna membayar harga yang berpatutan untuk perlindungan takaful mereka. "Harga yang berpatutan" berlaku apabila takaful dipilih menyediakan pengguna dengan jumlah perlindungan terbaik dan diperolehi setelah pengguna membuat penelitian menyeluruh bagi empat perkara diatas. Harga ini tidak semestinya adalah yang termurah atau termahal. Harga termurah mungkin diberikan oleh syarikat takaful yang status kewangannya boleh dipersoalkan. Ia juga mungkin ditawarkan oleh agen yang tidak mendapat latihan yang mencukupi dan kurang pengetahuan. Syarikat takaful yang polisi mereka tidak memberi perlindungan setimpal dengan apa yang syarikat takaful lain berikan juga mungkin menawarkan harga yang murah bagi produk mereka. Sebab-sebab inilah yang memerlukan pengguna memikirkan semasak-masaknya kesemua empat kriteria diatas. Seterusnya, tentukan harga yang berpatutan bagi perlindungan takaful yang dikehendaki tanpa rasa ragu-ragu.

Sediakan payung sebelum hujan

UMPAMA pepatah sediakan payung sebelum hujan, itulah konsep perlindugan takaful sebagai persiapan untuk menghadapi masa depan yang belum tentu. Walaupun banyak agensi perlindungan takaful beroperasi di negara ini, masih ramai lagi yang tidak memahami dan sedar mengenai kepentingan takaful walaupun ia memberi banyak kebaikan kepada mereka yang mengambilnya. Bagaimanapun, seandainya kita sentiasa beringat dan memahami pepatah orang tua, 'malang tidak berbau', sudah tentu kita akan menyertai insuran sebagai jaminan untuk menghadapi sebarang kemalangan dan kecemasan yang tidak disangka.

Istilah "malang tidak berbau" adalah ungkapan nasihat yang sering diucapkan bagi mengingatkan kita bahawa kecelakaan atau musibah hadir tanpa sebarang tanda atau isyarat. Apabila berdepan kecelakaan seperti terbabit dalam kemalangan, mangsa bukan saja mengalami kesakitan akibat kecederaan tetapi pada masa sama kewangan juga menjadi satu masalah besar kepada mereka.

Ramai yang tidak mahu memikirkan tentang konsep malang tidak berbau ini. Akibatnya apabila terkena batang hidung, barulah menyesal. Anda bagaimana? Adakah anda tergolong dalam golongan ini? Jangan tunggu hingga sudah terantuk baru terngadah. Sudah terlewat.

Selasa, 8 September 2009

Al kisah 2

Minggu lepas saya sempat menelefon seorang rakan dan bertanyakan status takaful beliau. Kata beliau buat masa ini dia tidak memerlukannya dan mencadangkan saya mencari prospek lain terlebih dahulu. Saya pun meminta nombor seorang lagi rakan yang bekerja di satu syarikat besar dan sudah memiliki seorang anak. Beliau menasihati saya supaya membatalkan niat saya kerana syarikat tersebut memberikan perlindungan tanpa had kepada pekerjanya. Betul ke?

Saya rasa kenyataan ini kurang tepat. Saya rasa perkara dibawah kurang diambil perhatian:
  1. Bagaimana kalau kita kena sakit dan penyakit ini mengganggu prestasi kerja kita?
    Syarikat mungkin boleh bertoleransi sekiranya kita sakit seminggu dua. Saya sendiri pernah patah tangan dan mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan selama 2 bulan tapi terpaksa kerja balik selepas seminggu berehat. Sekiranya jawatan yang kita pegang sekarang penting dan tidak boleh dikosongkan walaupun seminggu, adakah syarikat tidak akan berusaha mencari pengganti sekiranya kita bercuti 2,3 bulan atau prestasi kita menurun akibat penyakit?

  2. Kalau sakit je ok lagi, kalau lumpuh?
    Kita minta dari Allah supaya dijauhkan tapi risiko tetap risiko. Adakah syarikat akan menanggung makan minum, bil-bil, bayaran perubatan dan kos pendidikan anak kita kalau kita lumpuh? Bagaimana pula jika kita seorang sahaja yang mencari rezeki sebelum ini? Isteri akan terpaksa mencari kerja dan banyak lagi perkara berserabut akan berlaku.

  3. Paling tidak kita ingini adalah mati awal. Innalillahiwainna ilaihiroji'un
    Keadaan yang sama akan berlaku sekiranya kita meninggal awal. Syarikat mungkin akan memberi pampasan kepada balu kita tetapi adakah ini mencukupi untuk menanggung kos perubatan dan pendidikan anak-anak sehingga mereka berjaya?
Sekiranya seorang konsultan meninggal dunia, anda boleh dapatkan perlindungan secara takaful daripada agen lain. Kalau anda yang meninggal?