Rabu, 1 Julai 2009

Salah tanggapan terhadap takaful

  1. Perlindungan risiko(insurans) menolak Tawakkul (bergantung sepenuhnya kepada Allah swt)
    Apa sahaja yang dilakukan oleh manusia tidak akan mengubah ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak kira samada seseorang itu memiliki insurans/Takaful atau tidak, ketetapan Allah tetap akan berlaku. Sebaliknya, kita disuruh supaya mengambil sikap berjaga-jaga dan selepas itu berserah kepada Allah swt. Satu hadis daripada Anas bin Malik: seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasullullah, "Patutkah aku meninggalkan untaku begitu sahaja dan berserah kepada Allah atau patutkah aku mengikatnya?". Rasullulah menjawab, "Ikatlah untamu dan berserahlah kepada Allah swt." {Sunan Al Tarmizi, 1981}


  2. Semua perlindungan risiko adalah Haram
    Resolusi Fiqh Council of World Muslim League(1398/1978) dan Fiqh Council of Organization of Islamic Conference (1405/1985) di Jeddah bersepakat mengatakan bahawa "..insurans konvensional yang diamalkan pada masa ini adalah Haram.". Dan.."..Takaful dibenarkan kerana ia adalah selaras dengan prinsip Syariah." Dapat dirumuskan bahawa insurans konvensional adalah dilarang bagi orang Islam kerana melibatkan unsur Riba, Al Maisir, dan Al Gharar. Sebaliknya, Takaful menyediakan perlindungan risiko mengikut Syariah dengan menggunakan prinsip Ta'awun(tolong-menolong), persaudaraan, keimanan dan operasi yang beretika.

  3. Semua insurans adalah salah satu bentuk perjudian nasib, kerana itu ia diharamkan
    Risiko atau ketidaktentuan boleh dipecahkan kepada Risiko Sebenar(Pure Risk) dan Risiko Spekulatif(Speculative Risk). Risiko Sebenar melibatkan kemungkinan kerugian atau tiada kerugian. Contohnya, kerosakan yang berlaku kepada hartabenda akibat kebakaran. Risiko Sebenar boleh diletakkan dibawah insurans perlindungan risiko dan Takaful. Sebaliknya, Risiko Spekulatif melibatkan kemungkinan kerugian, tiada kerugian atau keuntungan. Contohnya ialah bertaruh dalam lumba kuda. Risiko Spekulatif yang bersifat boleh mendapat keuntungan tidak boleh diinsuranskan. Skim Takaful menggunakan prinsip jaminan gantirugi untuk membayar pampasan ke atas kerugian yang terjadi kepada pemegang Takaful. Takaful memberi perlindungan bagi Risiko Sebenar dan bayaran tuntutan adalah jika berlaku kerugian/kehilangan bagi membaiki kerosakan, mengganti hartabenda atau membayar jumlah yang telah dipersetujui dari awal lagi. Di dalam Takaful Taawuni(jaminan), pampasan adalah diambil daripada jumlah terkumpul simpanan peserta ditambah dengan keuntungan dari pelaburan yang dikumpulkan bersama-sama.


  4. Semua insurans hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan faedah untuk ahli
    Kebanyakan syarikat insurans konvensional adalah syarikat saham yang hanya mahu memaksimakan keuntungan. Oleh kerana kepentingan pemegang saham tidak selari dengan pemegang polisi, syarikat cenderung untuk menaikkan harga polisi, menidakkan tuntutan dan sebagainya dalam usaha mendapatkan keuntungan kepada pemegang saham. Pengendali Takaful pula mengamalkan sikap keuntungan bersama dan memiliki sifat bekerjasama. Tujuan utama Takaful adalah kepentingan untuk masyarakat umum di samping dapat meneruskan operasi - bukannya mencari keuntungan yang tinggi. Di bawah Takaful Mudarabah, lebihan(surplus) dibahagikan samarata di antara pemegang saham dan pemegang polisi. Bagi Takaful Wakalah pula, lebihan adalah untuk milik pemegang polisi dan berkemungkinan akan berkurangan disebabkan oleh pembayaran yuran insentif prestasi kepada pengendali sebelum diberi kepada pemegang polisi.

  5. Semua pengendali Takaful adalah sama
    Terdapat banyak model Takaful yang muncul dimana semua ini diterima oleh cendikiawan Islam. Walaupun semuanya adalah berlandaskan kepada prinsip perkongsian risiko bersama, terdapat sedikit perbezaan dari segi penstrukturan dan cara beroperasi. Model Takaful biasanya adalah berdasarkan kontrak Islam yang digunakan, contohnya Hibbah atau Tabarru(Sudan), al Mudarabah(Bahrain, Malaysia) atau Al Wakalah(Arab Saudi).

  6. Skim insurans adalah ciptaan masa sekarang
    Persatuan sosial untuk bersama-sama menghadapi risiko telah wujud berabad lamanya. Sistem Takaful berkembang dari cara lama perlindungan risiko yang wujud di Tanah Arab 1400 tahun yang lalu. Contohnya:
    • daman Khtr-altariq - jaminan bagi pedagang
    • a'qila - bayaran kepada keluarga si mati oleh keluarga tertuduh
    • hilf - persatuan untuk kepentingan bersama

    Tahun 1706 menyaksikan kewujudan skim jaminan kekal(perpetual assurance scheme) yang pertama di UK. Syarikat insurans pertama di Amerika(1740-an) yang dimulakan oleh Ben Franklin adalah persatuan bagi pedagang-pedagang. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada persatuan ini telah bertukar kepada syarikat bersaham dalam usaha untuk mencari keuntungan yang lebih.

  7. "Saya tidak memerlukan Takaful"
    Skim Takaful memberi peluang kepada kita untuk mengamalkan sifat keIslaman, termasuklah pembersihan diri. Surah Al Maidah: "Tolong-menolonglah dalam urusan kebaikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong di dalam kejahatan dan maksiat". Di dalam hadis oleh Ahmad dan Abu Daud: "Barangsiapa yang memenuhi kehendak saudaranya, Allah akan memenuhi kehendaknya di akhirat."

Perjanjian Madinah yang diaturkan oleh Nabi Muhammad s.a.w mengandungi tiga aspek yang secara langsung menyentuh tentang perlindungan risiko:
  • insurans sosial kepada kaum Yahudi, Ansar dan Kristian
  • Artikel 3 mengenai harga nyawa(blood money)
  • peruntukan untuk Fidyah(wang tebusan) dan Aqila

Kita seharusnya mengikut contoh Rasulullah dalam memenuhi kehendak kita dan masyarakat awam.

Skim Takaful mendisiplinkan diri untuk menyimpan dan membuat perancangan kewangan dalam usaha menjaga diri dan keluarga. Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya, adalah lebih baik bagi kamu untuk meninggalkan keturunan kamu dalam keadaan kaya daripada meninggalkan mereka miskin dan meminta-minta."

"Orang yang membantu janda dan orang miskin adalah seperti orang yang berjuang kerana Allah."

"Sesiapa yang melepaskan seseorang yang beriman dari kesusahan dunia, Allah swt akan melepaskan dia dari kesusahan di hari akhirat."

Takaful boleh menjadi satu kaedah yang berkesan untuk mengumpulkan simpanan individu bagi digunakan untuk kepentingan masyarakat. Dalam komuniti Islam yang kekurangan sumber modal, Takaful boleh menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan melalui penyaluran dana di dalam pelaburan yang berlandaskan Syariah dan dimiliki oleh persatuan tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan