Rabu, 12 Ogos 2009

Perlindungan punca pendapatan

Pengurusan kewangan yang baik bukanlah sekadar menggandakan wang sahaja. Ia patut merangkumi perlindungan bagi apa yang kita sudah miliki. Pakar kewangan menasihatkan agar mendapatkan perlindungan bagi rumah, kereta, kesihatan dan hidup kita. Apa yang kebanyakan dari kita lupa ialah untuk mendapatkan perlindungan bagi punca pendapatan kita atau dengan kata lain perlindungan pendapatan sekiranya terjadi sesuatu seperti lumpuh kekal dan penyakit kritikal.

Sekiranya majikan menyediakan faedah perlindungan di atas, kita mungkin merasakan ini sudah mencukupi. Anda silap di sini. Anda mungkin hanya memiliki rasa selamat yang tidak berasas dan sebenarnya tidak dilindungi. Jika anda benar-benar dilindungi, ia mungkin untuk tempoh sementara dan perlindungan yang diberi tidak mencukupi. Apa yang anda benar-benar perlukan ialah perlindungan jangka panjang, iaitu sehingga anda bersara.

Fikirkan, apa akan berlaku sekiranya anda mengalami lumpuh kekal? Adakah majikan akan menanggung anda hingga umur persaraan? Jika anda selalu sakit dan ini mengganggu prestasi kerja anda, adakah majikan hanya melihat sahaja tanpa sebarang tindakan? Sebab itu saya katakan bahawa rasa selamat anda tidak berasas dan anda sebenarnya tidak dilindungi sepenuhnya.

Kenapa kita memerlukannya?
Sepanjang tempoh bekerja, di tempat kerja atau semasa ingin pergi ke / balik dari tempat kerja; kita adalah lebih cenderung untuk mengalami kelumpuhan berbanding kematian. Hampir satu daripada tiga pekerja akan mengalami kelumpuhan selama tiga bulan atau lebih dalam sepanjang tempoh mereka bekerja.

Masalahnya ialah, kelumpuhan bukan berakhir begitu sahaja. Kesan dari kelumpuhan ini boleh berterusan selama berbulan-bulan atau mungkin bertahun dan ini memberi kesan kewangan kepada diri dan keluarga. Jika anda tidak bekerja, pendapatan akan terhenti tetapi bil dan kos tetap terkumpul dan bertambah. Dengan kata lain, ini bermaksud bahawa halangan utama untuk hidup dengan aman dan tenang adalah sakit teruk dan kelumpuhan! Semakin muda diri anda, semakin tinggi risiko dan kesannya.

Sekiranya berlaku kemalangan atau penyakit seperti kanser, kita mungkin akan sembuh walaupun ia akan mengambil masa dan kita tetap dapat meneruskan hidup. Tetapi adakah kita masih dapat kembali melakukan pekerjaan asal kita? Kajian menunjukkan, peningkatan tahap kegemukan dan diabetes menyebabkan ramai pekerja lumpuh pada usia muda dan tidak dapat meneruskan pekerjaan asal mereka. Kanser pula menjadi penyebab utama kelumpuhan jangka panjang diikuti oleh komplikasi kehamilan, sakit belakang dan penyakit jantung.


Apakah ciri-ciri insuran/takaful yang diperlukan?
  • Cari polisi yang melindungi “pekerjaan sekarang”. Ini bermaksud, anda akan dilindungi sekiranya anda tidak dapat melakukan pekerjaan yang anda lakukan sekarang. Jika polisi anda adalah untuk semua pekerjaan, asalkan anda masih mampu melakukan pekerjaan, anda tidak akan dilindungi.

  • Pastikan perlindungan adalah sehingga umur persaraan. Polisi dengan jangka masa perlindungan yang pendek adalah lebih murah dan menarik tetapi tidak benar-benar berguna. Sekiranya berlaku kelumpuhan jangka panjang, keluarga akan menanggung risiko yang besar.

  • Ketahui berapa lama anda boleh bertahan sebelum faedah perlindungan bermula. Jika anda memiliki simpanan kecemasan yang mencukupi untuk enam bulan, anda boleh memanjangkan tempoh sebelum mula menggunakan duit dari insuran/takaful anda. Anda akan mempunyai masa untuk merancang strategi terbaik dalam menguruskan kewangan untuk masa mendatang. Dari kajian, 70% pekerja mempunyai cukup duit untuk tidak bekerja selama sebulan sahaja sebelum keperluan seharian memaksa mereka bekerja semula. Sekiranya tidak dapat bekerja, pilihan yang tinggal adalah berhutang.

  • Tentukan berapa faedah yang anda inginkan. Kebanyakan polisi akan menawarkan faedah setinggi yang mungkin, selagi anda mampu. Tentukan berapa yang anda mampu dan kalau boleh, cari polisi yang boleh ubah. Sekiranya anda lebih berkemampuan di masa hadapan, anda dapat menambah premium dan akan mendapat faedah yang lebih tinggi. Begitu juga sebaliknya. Ambil kira semua risiko yang boleh berlaku dan masukkan ke dalam pengiraan anda.

  • Syarikat insuran/takaful mengklasifikasikan anda mengikut kelas pekerjaan. Seorang kontraktor awam, adalah terletak di dalam kategori berisiko tinggi. Syarikat insuran/takaful amat berhati-hati untuk meluluskan permohonan jika punca pendapatan seseorang sukar untuk disahkan. Ini termasuklah kategori pekerjaan dari rumah seperti pereka cipta sambilan, penulis, konsultan dan akauntan. Walaupun begitu, semakin lama anda terlibat dengan bidang ini, semakin banyak rekod pendapatan yang anda miliki, semakin rendah risiko diri anda di kaca mata syarikat insuran/takaful. Kadar bagi perempuan adalah lebih tinggi berbanding lelaki pada umur yang sama, kerana risiko seorang perempuan mengalami kelumpuhan jangka panjang adalah lebih tinggi.

  • Pastikan polisi anda adalah terjamin pembaharuannya. Ini bermaksud, perlindungan bagi diri anda adalah terjamin pembaharuannya sehingga tempoh matang atau tamat tempoh, selagi premium dibayar secara tetap pada waktunya. Syarikat insuran/takaful tidak boleh menukar mana-mana isi polisi, kecuali kadar premium sehinggalah tarikh matang. Kadar premium pula hanya boleh ditukar sekiranya perubahan dilakukan pada semua polisi dengan faedah yang sama dan melindungi kelas risiko yang sama.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan